Madah Berkunjung

Jumaat, 29 Mei 2009

Teks Ucapan Hari Guru 2009, Yang Dipertua JPP IPGM Kampus Tun Abdul Razak

Teks Ucapan Hari Guru 2009, Yang Dipertua JPP IPGM Kampus Tun Abdul Razak


Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera…

Yang Berbahagia, Datin Hjh. Zahrah bt. Hj. Bujang,
Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tun Abdul Razak;

Yang Dihormati, Encik Awang Razali b. Awang Karim,
Ketua Unit Khidmat Pengurusan;

Yang Berusaha, Encik Mohd. Shukor b. Abbas,
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar;

Ketua-ketua jabatan; Ketua-ketua Unit; Para pensyarah; Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar; Ahli Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Guru 2009; rakan-rakan guru pelatih yang dikasihi; seterusnya sidang hadirin hadirat yang dimuliakan.

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya, dapatlah kita sama-sama berkumpul di dalam Dewan Sri Samarahan yang indah pada hari yang berbahagia ini, bersempena dengan sambutan Hari Guru peringkat IPGM Kampus Tun Abdul Razak bagi tahun 2009.

“Guru Pembina Negara Bangsa”, demikian indah dan padunya tema sambutan Hari Guru pada tahun ini. Jelas terpapar pada tema ini, tugas seorang guru bukan setakat mengajar tulis dan baca, tapi membina negara bangsa. Tugas yang bukan mudah dan tidak boleh diperlekehkan.


Sambutan Hari Guru peringkat IPGM Kampus Tun Abdul Razak pada tahun ini diraikan sedikit lewat daripada tarikh asal, iaitu 16 Mei pada setiap tahun, di atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan seperti peperiksaan dan program wajib untuk memenuhi kursus seperti Bina Insan Guru dan seumpamanya. Namun pada saya, setiap hari adalah hari penghargaan buat seorang guru. Setiap hari, guru akan mendapat ucapan terima kasih daripada murid-muridnya, pelajar-pelajarnya atau mereka yang diajar oleh seorang guru, bukan seorang tapi berpuluh-puluh orang atau mungkin beratus-ratus orang dalam sehari. Hal ini jelas menunjukkan betapa mulianya pekerjaan seorang guru.

Justeru, di kesempatan ini, saya sebagai mewakili seluruh warga guru pelatih IPGM Kampus Tun Abdul Razak, ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas segala tunjuk ajar serta bimbingan yang telah diberikan oleh para pensyarah kepada kami, dalam usaha untuk menjadi seorang guru yang mampu membina negara bangsa. Ilmu yang dicurahkan oleh seorang guru kepada anak muridnya tidak akan membawa berkat atau hasil yang memuaskan andaikata tidak direstui oleh guru tersebut. Oleh yang demikian, sebagai mewakili rakan-rakan yang lain, kami ingin menyusun sepuluh jari, memohon berbanyak-banyak ampun dan maaf andai kata sepanjang kami menuntut ilmu di IPTARKU GEDUNG ILMU ini, kami pernah mengguris hati para pensyarah yang dikasihi dan disayangi sekalian. Mohon ilmu yang kami terima selama ini dihalalkan untuk kejayaan di dunia dan akhirat.

Hadirin hadirat yang dimuliakan,
Bersempena dengan majlis perhimpunan yang digabungkan dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya selaku Yang Dipertua Pelajar sesi 2009/2010 akan memperkenalkan barisan Ahli Jawatankuasa JPP untuk sesi 2009/2010 dalam selayang pandang multimedia yang akan dipaparkan selepas ini. Moga-moga, sepanjang perkhidmatan kami di dalam JPP untuk sesi ini nanti, kerjasama yang diberikan oleh semua pihak boleh menjadi landasan kepada kami untuk menjayakan matlamat-matlamat penubuhan satu badan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Andaikata terlalu banyak hambatan yang menyekat kelancaran tugas kami sebagai wakil pelajar, maka semuanya akan menjadi sukar dan kucar kacir.

Akhir kata dari saya, dalam tempoh yang tidak lama lagi, kita semua, rakan-rakan guru pelatih sekalian, akan bergelar seorang guru. Justeru, persiapkan diri kita dengan pelbagai ilmu dan kemahiran untuk menjadi seorang guru yang berkualiti yang akan menggembleng tenaga membina negara bangsa. Harus diingat, di dalam Kampus Tun Abdul Razak ini, terlalu banyak ilmu dan kemahiran yang boleh kita ketahui dan kuasai. Kalau hanya berbekalkan tugasan di dalam kelas yang disiapkan dengan baik, belum tentu kita boleh menjadi seorang guru yang betul-betul berkesan. Kadang-kadang, apalah salahnya kita berkorban sedikit tenaga yang kita ada untuk berkhidmat kepada tempat di mana kita menuntut ini, iaitu IPGM Kampus Tun Abdul Razak, yang mana sebenarnya boleh menjadi medan pengajar kepada diri kita yang mana saya kira lebih luas dan membantu memberikan pengalaman bererti kepada diri kita. Banyak medan yang boleh kita jadikan sebagai ruang untuk kita belajar, seperti penganjuran aktiviti, mewakili institut, membantu membantu menaikkan nama institut dan banyak lagi. Pasti kita akan merasa cukup bertuah dan berbaloi, bilamana kita mempunyai pengalaman yang mungkin orang lain tidak pernah ada.

Hadirin hadirat yang saya muliakan,
Suka saya mengingatkan diri saya dan hadirin sekalian. Kita sebenarnya umpama jari jemari. Ada yang panjang, ada yang pendek, ada yang besar, juga ada yang kecil. Tapi, kalau nak berjaya, kita perlu menjadi genggaman jari-jari, iaitu menjadi satu. Kerjasama dan bersatu sahajalah yang boleh membantu kita membina negara bangsa.

Sekian, wabilahi taufik walhidayah wassamualaikum w.b.t.
Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen anda dengan berhemah dan profesional. Terima kasih di atas komen membina anda. (YDP)